PETALING JAYA – Penyanyi kumpulan Alleycats, Datuk David Arumugam, 71, kehilangan isteri tercinta, Datin Sabrina Clydes, 65, pagi tadi disebabkan kanser.
Khabar duka itu disahkan Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air (YKAT), Datuk DJ Dave.
DJ Dave berkata, penyanyi tersebut menghubungi untuk memaklumkan dirinya mengenai pemergian insan paling bermakna dalam hidupnya itu.
“Saya ada terima panggilan telefon daripada David pagi tadi. Dia memaklumkan isterinya meninggal dunia kira-kira pukul 6 pagi.
“Apa yang saya tahu isterinya menghidap kanser sejak empat tahun lalu,” katanya kepada Kosmo! Online.
Pada 2007, David kehilangan adiknya yang juga anggota Alleycats iaitu Loganathan Arumugam akibat kanser paru-paru.
Sementara itu, usaha mendapatkan komen lanjut daripada penyanyi yang cukup popular dengan lagu Andainya Aku Pergi Dulu itu tidak berhasil apabila panggilan telefon masih belum berjawab. – K! ONLINE