SELEPAS lebih sebulan mendedahkan hatinya sudah dimiliki cinta baharu, aktres Honey Lee mengejutkan peminat apabila mendirikan rumah tangga pada Selasa lalu.
Berita gembira tersebut dimaklumkan agensinya, Saram Entertainment dengan memberitahu, Honey Lee mengadakan sebuah majlis perkahwinan serba ringkas secara tertutup.
Dia dan lelaki pilihan hatinya yang bukan orang dalam industri hiburan selamat bergelar suami isteri di sebuah lokasi tidak didedahkan di Seoul.
“Kami ada berita gembira tentang Honey Lee. Dia sudah menemui individu yang sangat berharga dalam hidupnya. Mereka berjanji untuk saling setia sehingga hujung nyawa.
“Disebabkan situasi sukar ketika ini, mereka tidak dapat mengadakan majlis perkahwinan. Mereka bagaimanapun bergelar suami isteri menerusi acara janji setia disaksikan keluarga rapat,” dedahnya.
Pasangan itu bertemu awal tahun ini sebelum menjalin cinta kerana mudah mencipta keserasian dan berkongsi minat serta pemikiran yang sama.