BEIJING – Pihak berkuasa percukaian China menetapkan tempoh masa 10 hari kepada penghibur dan pesohor media sosial untuk membayar cukai tertunggak dalam kempen pemerintah untuk menyekat aktiviti mengelak cukai dan perbelanjaan mewah oleh selebriti.
Beijing melancarkan operasi besar-besaran untuk membanteras aktiviti mengelak cukai dan kelakuan tidak bermoral dalam industri hiburannya dan menyasarkan sesetengah bintang paling popular negara itu.
Biro percukaian di beberapa hab hiburan di seluruh China termasuk Beijing, Shanghai dan wilayah Guangdong, Zhejiang serta Jiangsu telah memberi amaran kepada selebriti yang disyaki cuba menyembunyikan pendapatan sebenar mereka.
Kalangan mereka berdepan hukuman berat jika tidak memfailkan semula pendapatan sebenar masing-masing menjelang akhir 2021.
Arahan itu dikeluarkan selepas Huang Wei yang digelar Ratu Penstriman Langsung China, diarah membayar denda berjumlah AS$200 juta (RM840 juta) kerana cuba mengelak cukai pada Isnin lalu. Akaun sosial medianya yang mempunyai lebih 110 juta pengikut turut ditutup sehari kemudian.
Aktres China, Zheng Shuang juga didenda sebanyak AS$46 juta (RM193.2 juta) kerana kesalahan serupa pada Ogos lalu, manakala kerjaya aktres Fan Bingbing pula terancam selepas skandal cukainya pada 2018.
Bingbing merupakan antara aktres yang menerima bayaran paling tinggi di China sebelum kejatuhannya. Dia pernah berlakon dalam francais filem X-Men dan Iron Man. – AFP