JELEBU – Seorang penduduk Kampung Puom di sini terpaksa duduk di atas pokok selama lapan jam untuk menyelamatkan diri dalam kejadian banjir baru-baru ini.
Bekas jurulatih menyelamat di air, M. Fadzly Pardi, 54, berkata, dia bersyukur kerana mempunyai asas kemahiran menyelamat ketika.
Katanya, ketika kejadian dia bersama 11 ahli keluarga yang lain duduk dalam satu kawasan.
“Beberapa jam sebelum kejadian saya sudah menjangkakan banjir kerana kawasan ini pernah dinaiki air kerana hujan berterusan.
“Saya juga sudah meminta ahli keluarga yang lain menyediakan tali keselamatan yang diikat pada pokok,” katanya yang ditemui dalam Misi Bantuan Desa Bondang Farm di sini hari ini.
Menurut lelaki itu, ketika air sungai melimpah dan membanjiri kawasan rumah dia sudah mengatur ahli keluarga untuk duduk di kawasan tinggi iaitu atas bumbung rumah.
“Berbekalkan pengalaman dan ilmu yang ada, saya terpaksa mengatur awal kerana jika saya nak selamatkan 11 orang dalam satu masa adalah agak mustahil.
“Lebih kurang pukul 1 pagi, air agak deras dan ketika itu saya naik ke atas pokok yang sudah diikat tali sehinggalah pukul 9 pagi,” tambahnya. -K! ONLINE