RAUB – Seorang warga emas dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam Sungai Cheroh di sini semalam.
Difahamkan dalam kejadian kira-kira pukul 7 malam itu mangsa, Por Kor Ming,79, pergi ke sungai berkenaan untuk mandi selepas kawasan rumahnya terputus bekalan air.
Penolong Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, berdasarkan maklumat, mangsa disedari tiada rumah oleh anak saudaranya yang menghantar makanan.
“Pemeriksaan dilakukan di sekitar kawasan rumah mendapati ada kesan tergelincir di tebing sungai dan terdapat juga selipar serta gayung milik mangsa di
lokasi kejadian.
“Seramai lapan anggota bomba telah bergegas ke tempat kejadian bagi melakukan operasi mencari dan menyelamat,”katanya di sini hari ini.
Menurut Ismail, operasi pencarian dilakukan dengan menggunakan bot di sepanjang sungai dengan kaedah pencarian di permukaan.
Katanya, operasi pencarian dengan bantuan lima anggota polis dilakukan melibatkan kawasan sejauh kira-kira tiga kilometer dan mangsa belum ditemukan hari ini. – K! ONLINE