fbpx

Teknologi moden tingkat kecekapan pertanian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
UNTUK meningkatkan produktiviti dan pemasaran produk pertanian, teknologi terkini perlu digerakkan secara sistematik dan bersepadu.

BEKALAN komoditi makanan di pasaran terjejas teruk ekoran pandemik Covid-19.

Langkah dilakukan kerajaan terutamanya pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan dan pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) dalam mengekang penularan pandemik memburukkan lagi keadaan.

Banyak cabaran dihadapi usahawan pertanian makanan bagi membekalkan produk pertanian semasa krisis ini.

Hasil pertanian dilaporkan terbiar di ladang dan tidak dituai kerana kekurangan tenaga kerja, selain masalah pengangkutan untuk membawa hasil ke pasaran.

Akibatnya, harga hasil pertanian naik.

Sekatan perjalanan dalam negeri dan pusat pemeriksaan terus menimbulkan halangan kepada pengagihan makanan walaupun bekalan mencukupi di kebanyakan negeri.

Malah di tapak berhampiran kemudahan pengeluaran makanan, penghantaran dan pengangkutan buah-buahan segar, sayur-sayuran dan produk haiwan mungkin mengambil masa sehingga beberapa minggu kerana kakitangan dikehendaki mematuhi SOP.

Harga produk pertanian segar dilaporkan tidak stabil terutama komoditi makanan keluaran tempatan kecuali produk kawalan seperti beras, ayam segar dan daging (lembu serta kambing).

Laporan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan pada 2020 menunjukkan harga 32 peratus makanan segar meningkat, manakala sekitar 30 peratus daripadanya menurun.

Kenaikan harga pula antara 0.4 dan 113 peratus, manakala penurunan harga pula antara 0.4 dan 20.27 peratus.

Kebergantungan Malaysia kepada produk import dijangka meningkat pada masa hadapan apabila pengeluar tempatan meninggalkan industri.

MALAYSIA mengimport kira-kira 80 peratus daging lembu dari luar negara bagi memenuhi
permintaan di pasaran tempatan. – GAMBAR HIASAN

Selama bertahun-tahun, Malaysia adalah pengimport bersih makanan pertanian dan produk makanan.

Negara mengimport lebih RM51 bilion produk makanan pada 2018.

Bagi segmen pasaran makanan tertentu, negara hampir sepenuhnya bergantung kepada import terutamanya daging, tenusu, makanan laut dan koko.

Malaysia mengimport kira-kira 80 peratus daging lembu dari negara lain, mencapai nilai import RM3.9 bilion.

Bekalan daging lembu melalui pengimportan terutamanya dari India sebanyak 77 peratus, Australia (14 peratus) dan New Zealand (5 peratus).

Ini mencerminkan kegagalan untuk merangsang pertumbuhan yang ketara dalam pengeluaran makanan tempatan.

Kebergantungan tinggi kepada import untuk bekalan makanan iaitu nilai import terbesar mencecah RM8 bilion ialah makanan haiwan dan bijirin.

Selain makanan, Malaysia juga mengimport hampir semua input pertanian seperti benih, baka haiwan, baja, racun perosak, mesin, makanan haiwan serta buruh.

Akibatnya, kos pengeluaran makanan melambung tinggi.

Peningkatan mendadak harga input pertanian kebelakangan ini menjadi isu besar dan berlarutan yang membebankan bukan sahaja petani, tetapi kerajaan untuk mengawalnya.

Malaysia mengalami banyak krisis seperti kemelesetan ekonomi pada 1985, krisis kewangan (1997 hingga 1998) dan krisis kewangan (2007 hingga 2008).

Krisis ini menjejaskan ekonomi negara menyebabkan harga barang naik.

Orang ramai ingin membeli produk lebih murah, akibatnya kerajaan membenarkan banyak produk dari luar negara memasuki pasaran tempatan.

Antara pendekatan perlu diambil untuk mengurangkan pergantungan kepada produk import dengan mewujudkan dasar ‘Makanan Didahulukan’ kerana Malaysia mempunyai kekayaan sumber asli yang boleh digunakan sebaik mungkin untuk pengeluaran makanan.

Ia termasuk tanah, biodiversiti, cahaya matahari dan infrastruktur.

Penekanan harus diberikan kepada tanaman dan makanan berkhasiat, selamat serta berkualiti untuk rakyat.

Teknologi moden dan mampan seperti pertanian ketepatan serta aplikasi teknologi komunikasi maklumat (ICT) seperti dron, penderia, kecerdasan buatan (AI) dan Internet of Thing (IoT) untuk meningkatkan produktiviti dan pemasaran perlu digerakkan secara sistematik dan bersepadu.

Galakkan perniagaan baharu atau pemula dalam bidang makanan dan minuman, pengeluaran baja organik tempatan, teknologi pengeluaran hijau dan mampan, mesin kecil untuk perniagaan berskala kecil.

Kerajaan juga dicadang membina kilang pintar untuk petani kecil serta industri kecil dan sederhana.

Bagi memupuk minat belia dalam bidang keusahawanan pertanian, kerajaan menyediakan pelbagai latihan untuk meningkatkan kemahiran mereka.

Dalam pada itu, memperkukuh sistem komunikasi merangkumi penggunaan IoT, meningkatkan kelajuan internet di luar bandar, selain memberi latihan penerapan pertanian pintar kepada semua petani dan usahawan agromakanan juga perlu dipertingkatkan.

Meningkatkan data besar dan menyediakan analisis data penting bagi membantu petani membuat keputusan mengenai pengeluaran serta pemasaran produk pertanian makanan.

Malaysia juga perlu mengubah pasaran borong atau runcit menjadi reka bentuk pasaran bersih, teratur dan moden melalui penyatuan model koperasi pertanian bersepadu termaju untuk melibatkan diri dalam aktiviti nilai tambah.

Bagi memastikan cadangan di atas berjaya, sokongan daripada institusi serta bantuan fizikal lain diperlukan.

……………………………………………………………………………………………………………………………………………………………

DATUK MOHD AL KHAFIZ ZAINAL ialah Pengerusi Eksekutif Aras Niaga Makmur Group Berhad yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif Universiti Teknikal Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI