PUTRAJAYA – Berikutan banyak kes kecurian kereta mangsa banjir oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, satu pasukan khas telah mula pun dibentuk Kementerian Dalam Negeri.
Menurut Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin, kumpulan itu dikenali sebagai Team Cantas dan akan bergerak ke seluruh negara terutamanya kawasan yang teruk dilanda banjir.
“Selepas bincang dengan Ketua Polis Negara (Tan Sri Acryll Sani Abdullah Sani) tadi, kita setuju hantar pasukan terus ke lokasi di sana,” katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.
Terdahulu, beliau menyampaikan watikah pelantikan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain menggantikan Datuk Seri Mazlan Lazim yang bersara wajib pada Sabtu ini.
Langkah agresif itu ujarnya susulan ada laporan bahawa pencuri terbabit bijak berselindung dengan menggunakan trak penunda yang konon mahu membawa kereta rosak ke bengkel.
Modus operandi pihak terbabit bagaimanapun berjaya ‘dihidu’ pihak polis berdasarkan gerak geri individu terlibat agak mencurigakan dengan sasaran kenderaan yang dibiarkan mangsa.
Bahkan jelas Hamzah, ada penduduk membuat laporan polis setelah menyedari kereta yang rosak itu hilang ditunda oleh trak terbabit tanpa pengetahuan si pemilik kenderaan sendiri.
“Saya ingin memberi amaran tegas, kalau pasukan kita dapat tahu dan terjumpa, memang akan ditangkap terus untuk dibawa ke muka pengadilan,” katanya sambil memberi jaminan. – K! ONLINE