fbpx

‘Tak perlu tinjau, publisiti bersihkan rumah orang’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENYANYI Datuk Sheila Majid menyifatkan bencana banjir berlaku sebagai satu krisis nasional yang perlu ditangani secara sistematik oleh kerajaan.

PETALING JAYA – Ratu Jazz Negara, Datuk Sheila Majid mengingatkan setiap kementerian dan agensi kerajaan supaya cakna akan tanggungjawab mereka terhadap rakyat yang terjejas disebabkan bencana banjir.

Sheila atau nama lengkapnya, Shaheila Abdul Majid, 56, berkata, bencana banjir yang melibatkan beberapa negeri utama di semenanjung tanah air merupakan krisis nasional yang perlu diberikan perhatian sewajarnya.

“Kita perlukan pelan dan delegasi mampan tentang apa yang perlu dilakukan secara sistemaik dengan kadar segera selaras dengan bidang kerja setiap kementerian dan agensi kerajaan.

“Hal ini kerana, hanya menteri-menteri yang memiliki kuasa untuk meluluskan perkara di peringkat nasional. Sumber bantuan sudah ada cuma tolonglah salurkannya,” ujar pelantun lagu Sinaran itu menerusi satu hantaran status dalam Instagram miliknya.

Sheila turut menemplak tindakan segelintir pemimpin yang masih dahagakan perhatian dan publisiti pada saat ramai sedang sengsara disebabkan masalah banjir.

“Tapi perlu tinjau kawasan terjejas. Tak perlu pelancaran atas nama publisiti. Tak perlu sendiri pergi dan bersihkan rumah orang. Itu semua bukan apa yang orang mahukan.

“Wujudkan pasukan bantuan terdiri daripada pakar-pakar yang tahu bagaimana mahu mengendalikan krisis nasional. Gerakkan pasukan tentera untuk membantu kalau diperlukan.

“Hantar pasukan cari dan selamat untuk mengesan lokasi mangsa-mangsa banjir yang masih terkandas. Pindahkan mereka ke kawasan selamat. Orang tak perlukan wang sekarang, mereka perlukan sokongan dan bantuan,” getus Sheila.

Tambahnya lagi, masih ramai yang terperangkap dalam situasi banjir sekarang dan itu menjadi tanggungjawab kerajaan memastikan keselamatan rakyat.

“Beri mangsa jaminan bahawa mereka tidak berseorangan. Masih ramai yang terperangkap di rumah mereka yang dilanda banjir. Ada antara mereka yang masih di atas bumbung bersama orang tua dan kanak-kanak.

“Tiada sumber air bersih, terputus bekalan elektrik dan makanan. Tanggungjawab kerajaan memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat merupakan keutamaan paling utama. Ini isu kemanusiaan. Tolong bertindak cepat,” kata Sheila.

Setakat tengah hari ini, sebanyak 206 lokasi di enam negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu, Kelantan, Pahang dan Kedah masih terjejas akibat banjir. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI