fbpx

Suri rumah rugi duit RM298,500 dikebas scammer

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

JOHOR BAHRU – Seorang suri rumah mengalami kerugian RM298,500 setelah diperdaya individu yang menyamar sebagai ‘pegawai Lembaga Tabung Haji’ (LTH) dan ‘Inspektor Yong’ selepas didakwa mangsa mempunyai pinjaman RM12,900 dengan LTH yang belum diselesaikan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Johor, Asisten Komisioner Amran Md. Jusin berkata, mangsa berusia 62 tahun membuat laporan berhubung kejadian itu di Balai Polis Tampoi, Isnin lalu.

Katanya, wanita terbabit menerima satu panggilan daripada seorang wanita memperkenalkan diri sebagai pegawai LTH pada pukul pukul 11.23 pagi, 10 November lalu.

“Suspek wanita yang menyamar sebagai pegawai LTH itu memaklumkan mangsa mempunyai pinjaman dengan LTH sebanyak RM12,900 yang belum diselesaikan. Mangsa kemudian menafikan ada membuat pinjaman tersebut.

“Panggilan itu kemudian disambungkan kepada beberapa individu lain dan akhirnya seorang wanita memperkenalkan diri sebagai polis dengan nama ‘Chief Inspektor Yong’,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Amran berkata, ‘Chief Inspektor Yong’ mengarahkan mangsa membuka satu akaun di sebuah bank tempatan dan mendaftarkan kemudahan perbankan internet sebelum mengarahkan mangsa mengeluarkan semua wang miliknya dan suami.

“Mangsa mengikut semua arahan tersebut antara 15 November hingga 14 Disember dengan memasukkan wang semuanya berjumlah RM298,500 ke dalam akaun yang baru dibuka itu.

“Mangsa turut memberikan kata laluan perbankan internet untuk akaun baharu itu kepada ‘Chief Inspektor Yong’. Mangsa menyedari ditipu setelah gagal menghubungi ‘Chief Inspektor Yong’,” katanya.

Tambahnya, semakan yang dibuat mangsa pada Sabtu lalu terhadap akaun bank baharu itu mendapati baki dalam akaun telah tiada dan telah berlaku pengeluaran wang tanpa pengetahuannya.

Kertas siasatan sudah dibuka mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan jika disabit kesalahan boleh dipenjara satu hingga 10 tahun serta boleh dikenakan denda dan sebat.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI