SAINGAN Liga Perdana Inggeris minggu ke-18 berdepan kekalutan apabila enam perlawanan melibatkan 12 pasukan terpaksa ditangguhkan ekoran penularan wabak Covid-19 yang menjangkiti para pemain dan staf kejurulatihan pasukan.
Episod penangguhan bermula melibatkan pasukan Tottenham Hotspurs ketika mereka bersiap untuk turun menentang Stade Rennais dalam saingan Liga Konferensi Eropah sebelum dua aksi menentang Brighton dan Leicester City kemudiannya juga terpaksa ditunda ekoran sebahagian besar pemain mereka disahkan positif ataupun kontak rapat.
Selepas itu, beberapa pasukan lain mengesahkan bahawa ada pemain mereka yang turut dijangkiti sehingga tidak mempunyai pemain yang cukup untuk turun beraksi termasuk Manchester United yang hanya mempunyai sembilan pemain ketika mereka perlu berdepan Brentford yang turut mengesahkan hanya tujuh pemain yang mereka boleh diturunkan.
Pakar Kardiologi Sukan United Kingdom, Profesor Sanjay Sharma mendedahkan bahawa sikap degil sesetengah pemain termasuk berstatus bintang menjadi punca merebaknya wabak berkenaan apabila enggan mendapatkan suntikan vaksin.
Menurutnya, beliau tidak terkejut saingan EPL musim ini bakal berdepan ‘kehancuran’ ataupun dibatalkan aksinya oleh kerajaan England sekiranya trend penularan dalam kalangan pemain, staf kejurulatihan dan peminat menunjukkan peningkatan mendadak dan semakin sukar untuk dikawal.
Beberapa alasan yang diberikan sangat mengecewakan apabila mengaitkan amalan keluarga mereka yang merupakan pengamal vegeterian serta bimbang masalah kesuburan menjadi punca keengganan tersebut.
Malah, lebih teruk lagi ada antara mereka yang berpegang kuat pada ajaran Kristian mengakui langsung tidak mempercayai bahawa vaksin mampu melindungi mereka daripada jangkitan Covid-19.
Jelas Sharma, sikap begini memberi persepsi yang tidak baik dalam kalangan masyarakat yang turut menjadikan pemain dan bintang bola sepak sebagai idola sekali gus menggambarkan mereka adalah antivaksinasi serta penentang kepada polisi kerajaan.
Beliau mengakui, walaupun terdapat kes penerima vaksin berdepan masalah ‘myocarditis’ (keradangan jantung) dalam kalangan orang muda tetapi ia sekadar satu daripada 1,000 kes sebaliknya kemungkinan mereka yang mendapat masalah jantung akibat Covid-19 adalah 50 kali lebih besar.
Pada Oktober lalu, penganjur EPL mengesahkan bahawa setakat ini sebanyak 68 peratus daripada pemain sudah mendapatkan vaksin lengkap, namun peningkatannya sangat perlahan sehingga kini kerana sikap degil pemain yang berterusan mempertahankan kebebasan hak mereka.
Ketika ini, hanya saingan EPL menunjukkan peratus pemain divaksin yang masih rendah berbanding saingan liga Eropah lain apabila minggu lalu, Bundesliga di Jerman mengesahkan bahawa 94 peratus pemain sudah lengkap suntikan, manakala Serie A Itali mengeluarkan laporan jumlah pemain yang lengkap menerima pelindungan sudah mencapai angka 98 peratus.