PASIR MAS – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor terpaksa mengejar sebuah lori selama satu jam sebelum merampas sejuta batang rokok seludup di Jambatan Sultan Ismail Petra, Tendong di sini semalam.
Rampasan tersebut dijalankan pada pukul 8.15 malam selepas PPM menerima maklumat mengenai kegiatan penyeludupan rokok seludup bernilai RM750,000 itu.
Pegawai Pemerintah PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor, Asisten Superintendan Mohd. Rudzuan Ahmad berkata, semasa melakukan rondaan, sepasukan anggota PPM telah mengesan sebuah lori dipandu dalam keadaan mencurigakan di lampu isyarat Kampung Sireh, Kota Bharu.
Menurutnya, anggota bertugas kemudian telah bertindak mengekori lori tersebut untuk memeriksaan muatan yang dibawa kenderaan tersebut.
“Menyedari lorinya diekori, pemandunya telah bertindak memecut laju kenderaan tersebut.
“Selepas sejam mengejar lori itu, anggota PPM berjaya menahan kenderaan tersebut di atas Jambatan Sultan Ismail Petra dekat Tendong,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Rudzuan memberitahu, pemandu lori itu cuba melarikan diri, namun berjaya ditahan oleh anggota PPM.
Katanya, hasil pemeriksaan ke atas lori itu telah menemui kotak-kotak mengandungi 1 juta rokok seludup.
Tambahnya, kesemua barang kes dan pemandu lori itu dibawa ke Markas Operasi PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor untuk tindakan lanjut. – K! ONLINE