PETALING JAYA – Kumpulan Ana Global Ventures (Kumpulan Ana Global) melalui anak syarikatnya, Qaseh Health Resources Sdn. Bhd. (QHR) mahu melahirkan kira-kira 1,000 usahawan baharu pada tahun depan dengan pendapatan minimum masing-masing sebanyak RM2,000 sebulan.
QHR yang menawarkan 13 jenis produk penjagaan kesihatan berjenama Qaseh Gold, buat masa ini memiliki 2,800 pengedar termasuk stokis di seluruh negara.
Pengarah Eksekutif Kumpulan, Hasniza Hassan berkata, sasaran tersebut mampu dicapai melalui usaha berterusan QHR bersama kakitangannya untuk melatih dan membimbing kumpulan usahawan tersebut mencapai sasaran jualan bulanan yang ditetapkan.
“Peralihan kepada digital dan menjual secara online adalah tumpuan kami untuk meningkatkan jualan para pengedar kami selain disokong oleh barisan produk keluaran syarikat yang berkualiti tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar pada majlis makan malam Qaseh Gold baru-baru ini.
Hasniza menjelaskan, fokus syarikat pada tahun ini dan akan datang adalah membantu masyarakat yang terkesan dengan pandemik Covid-19 setelah diberhentikan kerja atau mengalami pengurangan pendapatan bulanan untuk beralih kepada dunia perniagaan.
“Melalui pembelian mana-mana produk Qaseh Gold, mereka boleh menjadi pengedar kami,” jelasnya.
Tambah beliau, QHR juga bercadang untuk melahirkan 100 jutawan dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Rangkaian produk Qaseh Gold mula dipasarkan pada tahun 2007 dan antara produk popularnya adalah Qaseh Gold Adinda, Qaseh Gold Kekanda dan juga terkini produk rangkaian Qaseh Gold Junior yang dijual pada harga antara RM18 hingga RM75 sebotol.
Qaseh Gold Junior dibangunkan melalui hasil formulasi bahan-bahan semula jadi bersesuaian untuk kanak-kanak seawal usia satu tahun ke atas.
Tambah beliau, rangkaian produk makanan tambahan untuk kanak-kanak itu menyumbang kira-kira 40 hingga 60 peratus kepada perolehan syarikat.
Produk yang dijual lebih daripada 3,000 unit sebulan itu bakal menembusi rangkaian farmasi persendirian menjelang pertengahan tahun depan.