KUALA LUMPUR – Sebuah kereta rosak teruk akibat ditimpa sebatang pokok berusia lebih 100 tahun yang tumbang berdekatan sebuah hotel di Jalan Bintang, di sini awal pagi tadi.
Bagaimanapun tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu, kenderaan dikatakan hanya diparkir oleh pemiliknya di lokasi.
Pengarah Eksekutif Sosio Ekonomi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Anuar Mohd. Zain berkata, pihaknya menerima aduan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 6 pagi.
“Tiada mangsa dilaporkan cedera, hanya sebuah kereta Perodua Axia yang diletakkan berhampiran hotel berkenaan dilaporkan rosak, manakala tiada kerosakan serius membabitkan struktur bangunan hotel terbabit.
“Kami juga sudah berjumpa pemilik kenderaan terbabit dan memaklumkan kepadanya bahawa dia boleh menuntut insurans dengan pihak DBKL berhubung kerosakan yang dialami,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.
Menurutnya, seramai 15 anggota dari tiga pasukan Skuad Kecemasan DBKL dikejarkan ke lokasi untuk membuat kawalan dan melakukan kerja-kerja pembersihan.
“Kami memulakan kerja-kerja pembersihan kira-kira pukul 7 pagi dengan menggunakan beberapa jentera dan lori.
“Kerja-kerja pembersihan masih berjalan dan dijangka selesai pukul 6 petang nanti kerana pokok berkenaan bersaiz besar,” ujarnya. – K! ONLINE