KLUANG – Sepasang suami isteri warga tempatan berusia 41 dan 43 tahun ditahan selepas yang disyaki rakan subahat lelaki Rohingya dikenali sebagai Long Tiger yang lolos dari lokap Mahkamah Majistret Tangkak, Johor pada 15 Disember lalu.
Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kedua-dua suspek ditahan di Balai Polis Bukit Gambir kira-kira 12.30 tengah malam kelmarin dan direman selama empat hari hingga Jumaat ini.
“Kita masih lagi melancarkan operasi untuk mengesan Long Tiger ini dan kita percaya dia masih berada di kawasan sekitar Bukit Gambir dan sebagainya.
“Saya menyeru kepada masyarakat dan orang awam, jangan sesekali melindungi Long Tiger ini kerana dia diburu oleh pihak polis. Kalau kita dapat maklumat dan ada bukti bahawa ada orang awam mencuba melindungi Long Tiger, kita akan buat tindakan yang sama,” katanya.
Ayob Khan berkata, pihaknya menyiasat segala aspek termasuk subahat, bersengkongkol, rasuah atau kecuaian yang menyebabkan Long Tiger atau nama sebenarnya Abdul Hamim Ab Hamid, 32, melarikan diri.
“Dua daripada empat anggota polis yang ditahan sebelum ini terlibat secara langsung dengan aspek kecuaian sehingga Long Tiger meloloskan diri.
“Dua anggota polis berkenaan ditahan kerja dan biasanya, kes-kes anggota polis , bila dituduh di mahkamah akan digantung kerja, sehingga habis proses rayuan sebagainya baru kita ambil tindakan selanjutnya.
“Ini walau tak dituduh di mahkamah tetapi membabitkan kes serius, kita ambil tindakan tahan kerja,” katanya.-K! ONLINE