DENGKIL – Operasi kutipan sampah banjir telah dipertingkatkan dan dilakukan KDEB Waste Management Sdn. Bhd. bermula semalam.
Yang Di Pertua Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang), Datuk Abd. Hamid Hussin berkata, air mula surut di beberapa kediaman penduduk sejak petang semalam dan mereka sudah mula membersih dan mengeluarkan barangan yang rosak di luar kawasan rumah.
“Ketika ini Tapak Pelupusan Sampah Dengkil menjadi sesak disebabkan banyak lori yang keluar masuk untuk membuang sampah sehingga mengambil masa lama untuk menunggu giliran.
“Sejak semalam kutipan sampah di Dengkil dan Salak meningkat 10 kali ganda berbanding kurang dari satu tan pada hari biasa,” katanya kepada media ketika menyertai gotong-royong membersih Surau Al-Jabar di Taman Emas hari ini.
Dalam perkembangan sama, Abd. Hamid berkata, sebanyak 60 tan sampah dihantar ke pusat pelupusan dan dijangka jumlahnya akan meningkat selepas semua penduduk pulang ke rumah.
Ujarnya, pihak kontraktor juga sudah meletakan 34 tong besar di kawasan Dengkil dan Salak bagi memudahkan penduduk meletakkan barangan yang rosak. – K! ONLINE