LUMUT – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Perak menasihatkan komuniti maritim terutama nelayan pesisir pantai agar sentiasa berwaspada dan memandang serius faktor keselamatan di laut.
Pengarah Maritim Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, sepanjang musim ini, perairan Perak bakal menerima tiupan angin yang lebih kencang dan berterusan dengan kelajuan antara 10 hingga 20 kilometer (km) sejam.
Menurutnya, kadar ini boleh mencecah sehingga 40 hingga 50km sejam dengan hujan lebat serta ribut petir di sesetengah kawasan.
“Ombak dijangka mencapai ketinggian 2.5 hingga 3.5 meter sepanjang tempoh seminggu bermula hari ini.
“Situasi ini dilihat berpotensi mendatangkan risiko dan bahaya kepada pengusaha bot, terutamanya bot-bot pancing rekreasi, bot tradisional serta bot gentian kaca (fibreglass),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau juga menasihatkan pengusaha dan aktiviti pelancongan di sekitar perairan pantai juga peka dan sentiasa berjaga-jaga dengan situasi semasa.-K! ONLINE