PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) memutuskan untuk menggantung sementara penjualan tiket bas dan penerbangan bagi inisiatif Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) Malaysia dan Singapura.
Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, penggantungan itu berkuatkuasa bermula esok hingga 20 Januari 2022.
Beliau berkata, keputusan itu diambil susulan kenyataan dikeluarkan Kementerian Kesihatan Singapura pada 20 Disember lalu berhubung satu kluster tempatan Covid-19 kemungkinan varian Omicron.
“Hasil ujian mendapati, dua daripada tiga kes positif itu menunjukkan kemungkinan varian Omicron dan mereka tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Katanya, bagi pengembara yang telah pun memiliki tiket perjalanan bagi VTL darat dan udara serta memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan, mereka boleh meneruskan perjalanan di bawah inisiatif VTL itu.
Khairy Jamaluddin berkata, penjualan tiket bas dan penerbangan bagi kedua-dua insiatif VTL itu akan dibuka semula bermula 21 Januari 2022 selepas penilaian risiko dibuat berdasarkan situasi Covid-19 semasa di kedua-dua negara.- K! ONLINE