CAPE TOWN, AFRIKA SELATAN – Kes jenayah seksual dan keganasan terhadap kaum wanita di Afrika Selatan kini semakin membimbangkan dengan Presiden Cyril Ramaphosa menyifatkan isu tersebut sebagai ‘pandemik kedua’ di negara itu, lapor laman berita Wion News kelmarin.
Berdasarkan satu data rasmi yang dikeluarkan baru-baru ini, lebih 100 kes rogol dilaporkan setiap hari dengan secara purata, seorang wanita dibunuh pada setiap tiga jam.
Statistik pula mendedahkan bahawa terdapat peningkatan 7.1 peratus bagi kes rogol dengan 9,556 wanita dirogol antara bulan Julai hingga September lalu.
Ini sekali gus menjadikan Afrika Selatan sebagai negara yang paling banyak mencatatkan kes keganasan terhadap wanita di seluruh dunia.
Dalam satu kenyataan, Ramaphosa menyifatkan situasi itu sebagai sesuatu yang memalukan selain menggelar keganasan terhadap kaum wanita sebagai ‘pandemik kedua’ bagi Afrika Selatan.
“Kita berada dalam satu ‘peperangan’ tanpa henti yang menjadikan tubuh badan wanita dan kanak-kanak sebagai sasaran utama.
“Meskipun telah melakukan sedaya upaya, tiada tanda-tanda menunjukkan masalah ini akan berakhir.
“Sekiranya tahap kemajuan sesebuah negara dinilai berdasarkan bagaimana ia memperlakukan golongan wanita dan kanak-kanak, sememangnya kita telah gagal,” tegasnya.
Dalam pada itu, data yang sama turut mendapati bahawa kira-kira satu pertiga kanak-kanak perempuan di Afrika Selatan pernah menjadi mangsa keganasan seksual sepanjang hidup mereka dengan satu daripada lima orang pernah berdepan dengan jenayah tersebut.
Selain itu, kadar pembunuhan kanak-kanak turut menaik sebanyak hampir satu pertiga berbanding tempoh yang sama tahun lepas.
Menurut Pengerusi Persatuan Awam Afrika Selatan untuk Kesihatan Wanita, Remaja dan Kanak-Kanak, Precious Robinson, masalah utama terhadap isu tersebut adalah kebanyakan daripada kes tidak pernah dilaporkan.
“Sesetengah budaya mempunyai kecenderungan untuk menganggap bahawa sekiranya sesuatu yang buruk berlaku dalam keluarga, mereka perlu menyembunyikan perkara itu.
“Ini kerana mereka bimbang perkara tersebut akan menjadi buah mulut masyarakat sekeliling sekiranya ia terdedah,” ujarnya.
Sebelum ini, satu kajian yang dijalankan pada tahun 2010 mendedahkan bahawa 25.3 peratus wanita di wilayah Gauteng pernah dirogol oleh sama ada suami, teman lelaki, ahli keluarga, orang asing atau kenalan.
Keadaan itu dalam masa sama turut menyumbang kepada satu lagi krisis lain, iaitu kesihatan mental dengan kebanyakan mangsa mengalami trauma dan tekanan perasaan. – AGENSI