SEREMBAN – Seorang pesara syarikat minyak dan gas terpaksa berputih mata apabila terperdaya dengan taktik sindiket macau scam yang mendakwa duit simpanannya merupakan hasil aktiviti haram dan bakal berdepan tindakan undang-undang.
Lebih malang lagi, wang berjumlah lebih RM108,500 itu merupakan wang simpanan mendiang bapanya.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Aibee Ab. Ghani, mangsa berusia 66 tahun menerima panggilan daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Sarjan Lee dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh pada 19 Disember lalu.
“Sarjan Lee memaklumkan wang simpanan mangsa adalah haram dan tidak berdaftar. Mangsa menafikan perkara itu sebelum diarahkan membuat pemindahan sementara wang itu untuk tujuan siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selepas transaksi dibuat, mangsa menghubungi nombor talefon sama dan dimaklumkan wang tersebut akan dikembalikan setelah siasatan selesai.
Mangsa yang berasa tertipu kerana masih tidak mendapat sebarang perkembangan mengenai wangnya kemudian membuat laporan di Balai Polis Seremban semalam. Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.-K! ONLINE