BENTONG – Daerah ini menjadi bandar lumpur dan berdebu tebal selepas kejadian hujan lebat dan banjir yang berlaku hujung minggu lalu.
Kebanyakan penduduk di situ juga terpaksa menyewa hotel kerana kediaman mereka perlu dibersihkan, namun ketiadaan bekalan air dan elektrik menjejaskan kerja pembersihan.
Tinjauan Kosmo! mendapati, keadaan di bandar Bentong seperti bandar lumpur apabila kediaman dan kenderaan diliputi selut tebal.
Salah seorang pekerja hotel, Muhammad Khairun Naim, 20, berkata, penduduk di daerah ini datang untuk membuat tempahan bilik sejak semalam (kelmarin) berikutan rumah mereka yang musnah akibat banjir.
“Ada yang datang dalam keadaan baju dipenuhi lumpur dan ada yang memohon untuk membayar deposit keesokan harinya kerana mereka datang sehelai sepinggang selain barangan peribadi termasuk dompet mereka telah dibawa arus deras.
“Tidak sampai satu malam, tempahan telah penuh dan ini merupakan kali pertama terjadi. Mujur, kawasan hotel ini terletak sedikit jauh dari kawasan yang terjejas akibat banjir, kira-kira 500 meter,” katanya yang ditemui Kosmo! di sini semalam.
Sementara itu, seorang lagi pekerja hotel, Norashidah Suhaimi, 36 berkata, kedudukan hotel yang di tengah-tengah kawasan banjir menyebabkan premis itu terpaksa ditutup.
Dalam pada itu, seorang pengusaha inap desa yang dikenali sebagai Wong berkata, dia terpaksa menutup inap desanya kerana kawasan tersebut berdekatan sungai dan bimbang akan keselamatan pengunjung.
“Saya telah menutup kawasan ini sejak Ahad lalu kerana bimbang akan keselamatan pengunjung selain kawasan tersebut berdekatan dengan sungai. Saya tidak mahu nyawa pengunjung tergugat akibat banjir,” ujarnya.