KOTA TINGGI – Seorang anggota polis mengalami cedera dalam kejadian kemalangan membabitkan sebuah bas ekspres di laluan sekatan jalan raya (SJR) di Kilometer 52.0 Jalan Johor Bahru – Mersing
malam semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 10.30 malam ketika bas berkenaan dalam perjalanan ke Kuala Terengganu.
Menurut, kejadian melibatkan sebuah bas ekspres yang dipandu seorang lelaki tempatan dan hasil siasatan awal mendapati bas tersebut dalam perjalanan dari Larkin membawa seramai 26 orang penumpang.
“Kesemua penumpang terdiri daripada 12 lelaki dewasa, sembilan perempuan dewasa, tiga kanan-kanak perempuan dan dua kanak-kanak lelaki.
“Semasa sampai di SJR itu, tiba-tiba pintu penyimpanan tayar ‘spare’ bahagian belakang sebelah kanan telah terbuka dan terkena khemah SJR yang berada di tengah jalan. Ketika kejadian anggota yang sedang bertugas berada di bawah khemah,”katanya dalam kenyataan hari ini.
Hussin berkata akibat daripada pelanggaran tersebut salah seorang petugas polis telah mengalami kesakitan akibat dihempap tiang besi khemah SJR dan mangsa mengalami kecederaan dalaman bahagian belakang.
Katanya, petugas polis tersebut telah dihantar oleh ambulans ke Hospital Kota Tinggi untuk mendapat rawatan lanjut.-K! ONLINE