MARANG – Pekerja sebuah resort gempar dengan penemuan seekor anak ikan paus yang terdampar di Pantai Merchang di sini hari ini.
Anak ikan paus yang dianggarkan seberat satu tan tersebut dijumpai terdampar di gigi pantai terbabit pada pukul 10 pagi.
Pemilik resort tersebut, Abd. Latif Jamaludin, 53, berkata, penemuan anak ikan paus tersebut kemudiannya dimaklumkan kepada Jabatan Perikanan.
“Sewaktu ditemui, kami mendapati anak ikan paus dalam keadaan lemah tetapi matanya kelihatan berkelip-kelip.
“Ia kemudiannya diambil pasukan Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Rantau Abang pada pukul 12 tengah hari,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Abd. Latif berkata, sebelum ini, beliau dan pekerjanya pernah menjumpai bangkai ikan paus di lokasi sama pada tahun 2017.
Sementara itu, Pengarah FRI Rantau Abang, Sharum Yusof berkata, anak ikan paus itu gagal diselamatkan kerana terlalu lemah.
“Bangkai anak ikan paus tersebut dibawa ke FRI Rantau Abang untuk siasatan lanjut,” katanya. – K! ONLINE