TANAH MERAH – Seorang wanita warga Thailand maut selepas dihempap sebatang pokok reput yang tumbang ketika sedang menoreh getah di dalam kawasan kebun di Kampung Air Sejuk, Kelewek di sini hari ini.
Kejadian pada pukul 3.45 petang itu menyebabkan mangsa, Anisa Latif,36, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada beberapa bahagian anggota badan.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Zainuddin Md. Yusuf berkata, siasatan awal mendapati, mangsa dipercayai keluar rumah seorang diri pada waktu pagi untuk menoreh getah di kebun getah milik penduduk kampung tersebut.
Menurutnya, bagaimanapun, mangsa tidak pulang ke rumah pada waktu petang sebelum suaminya telah keluar untuk mencari wanita itu.
“Suami mangsa menemui wanita itu dalam keadaan terbaring dengan kesan darah keluar daripada mulut dan hidungnya di kebun tersebut sebelum terus menghubungi pihak Hospital Tanah Merah.
“Pemeriksaan yang di jalankan oleh pihak hospital di lokasi kejadian mendapati mangsa telah meninggal dunia sebelum suaminya menghubungi talian kecemasan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Zainuddin, siasatan di lokasi kejadian mendapati, sebatang pokok getah reput yang tumbang dipercayai telah menghempap wanita itu berada berhampiran mayat mangsa.
Ujarnya, selain itu, tiada individu lain yang berada bersamanya semasa kejadian dan tiada sebarang unsur jenayah yang boleh dikaitkan dengan kematian wanita tersebut setakat ini.
“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tanah Merah di sini untuk dibedah siasat dan siasatan lanjut mengenai kes itu masih dijalankan,” katanya. – K! ONLINE