Menjelang tahun 2022, impian warga dunia tentunya mahu melihat pandemik lenyap. Harapan mereka juga tinggi kerana inisiatif imunisasi dunia ketika itu baru mendapat momentum.
Ramai menaruh harapan bahawa kehidupan akan kembali ‘normal’ apabila majoriti penduduk dunia lengkap divaksin, dan seperti kata Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), objektif tersebut setidak-tidaknya dapat dicapai akhir 2021.
Harapan mereka bagaimanapun menjadi debu. Pandemik kembali menggila sekali pun kadar vaksinasi tinggi. Moto WHO bahawa vaksin satu-satunya jalan mencegah jangkitan Covid-19 bagaikan ‘omong kosong’.
Realiti sekarang adalah vaksinasi boleh mengelakkan gejala serius dan bukan lagi jangkitan.
Menjelang 2022 dan berdasarkan perkembangan masa kini, penulis melihat masih tiada cahaya di hujung terowong.
Ketika dunia bergelut mengekang varian Delta, muncul varian baharu jauh lebih mudah berjangkit dinamakan Omicron.
Seluruh dunia ke arah melaksanakan semula perintah berkurung koronavirus dan sekatan lebih ketat untuk mengekang varian ini.
Dunia juga berdepan beban hutang yang menggunung, menghampiri satu kuadrilion ringgit atau melebihi keluaran dalam negara kasar (KDNK) global, seolah-seolah memberi bayangan bahawa krisis ekonomi dunia seperti yang berlaku pada 1998, bakal menanti pada 2022.
Ketika dunia menghadap pandemik, krisis politik antara Barat dan Rusia berhubung pengaruh dan dominasi di Eropah Timur khususnya isu Ukraine semakin menggelegak.
Amerika Syarikat dan sekutu Barat Lain kini berusaha mengelakkan penaklukan Ukraine oleh Rusia. Moscow dilaporkan menghimpunkan lebih 200,000 askarnya di sempadan kedua-dua negara.
Apa yang membimbangkan adalah perang di Eropah Timur berisiko meleret menjadi kontigensi lebih besar.
Perkembangan yang dikatakan penulis termasuk kegagalan kita mengekang pemanasan global memberi bayangan apa yang menanti pada 2022.
Banjir di Selangor beberapa hari lalu juga seolah-olah menunjukkan kita bakal melangkah ke Tahun Baru 2022 dengan langkah kiri, masih tiada cahaya di hujung terowong.