SABTU lalu, kita dikejutkan kejadian bencana banjir buruk di Lembah Klang yang jarang sekali berlaku, selain beberapa kawasan di negeri Pahang, Kelantan, Terengganu, Melaka dan Negeri Sembilan.
Banyak kawasan penempatan teruk terjejas sehingga ramai yang tidak pernah berdepan dengan kejadian banjir telah merasai pengalaman terperangkap dan terpaksa tidur dalam kereta apabila laluan-laluan utama termasuk lebuh raya ditutup selepas dinaiki air.
Punca kejadian tersebut dikatakan akibat hujan lebat secara berterusan selama dua hari yang dibawakan Monsun Timur Laut.
Namun kita tentu sahaja tidak boleh menyalahkan cuaca kerana ia bukanlah faktor yang boleh dikawal manusia, sebaliknya kerajaan terutamanya pihak berkuasa tempatan perlu mengambil tangungjawab bagi memastikan kejadian ini tidak lagi berulang.
Bencana ini tidak harus dipandang remeh dan dianggap hanya akan berlaku sekali sahaja, memandangkan perubahan iklim dunia sejak akhir-akhir ini membuatkan taburan cuaca amat sukar untuk diramal.
Iktibar perlu diambil daripada kejadian banjir di kawasan lain yang pada kebiasaannya amat jarang berlaku, misalnya banjir kilat yang melanda Mekah dan Madinah pada April tahun ini, juga disebabkan hujan lebat luar biasa.
Bagi Pensyarah Kanan Putra Business School, Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff, banjir di Lembah Klang tidak sama seperti di negeri-negeri lain disebabkan kepadatan penduduknya yang jauh lebih tinggi, seterusnya mendatangkan impak kepada lebih ramai rakyat.
Jelasnya, sejauh mana impak banjir kali ini kepada ekonomi dan kehidupan banyak bergantung kepada tindakan yang bakal diambil kerajaan untuk menangani isu banjir yang sebenarnya berlaku hampir setiap tahun, cuma pada magnitud yang lebih kecil.
“Bagi impak jangka pendek, banjir ini tentunya memberi kesan kepada mangsa banjir dan penduduk di kawasan sekitar, seperti kesukaran pergerakan dan tidak mampu pergi bekerja serta menjalani kehidupan seperti biasa.
“Saya lihat memang perlu ada intervensi daripada kerajaan negeri juga Persekutuan untuk membantu misalnya menyediakan penempatan sementara, bantuan pakaian serta pembersihan kawasan kediaman dan memulihkan jalan raya,” katanya ketika dihubungi.
Ketika kesan jangka pendek lebih melibatkan komuniti setempat, menurut Ahmed Razman, impak jangka panjang pula akan dilihat dari segi penambahbaikan infrastruktur yang dilaksanakan kerajaan bagi menangani masalah banjir.
“Misalnya dari segi kos insurans kenderaan.
“Saya fikir kebanyakan syarikat yang menawarkan insurans kenderaan juga tidak menjangkakan banjir seteruk ini berlaku di Lembah Klang dan premium insurans berkemungkinan akan naik sekiranya mereka melihat kerajaan tidak melakukan sesuatu.
“Begitu juga dengan nilai kediaman dan pasaran hartanah di kawasan terlibat.
“Sejauh mana semua ini akan terjejas banyak bergantung kepada inisiatif kerajaan, sama ada tindakan proaktif diambil untuk memperluaskan saliran dan sebagainya,” ujarnya.
Tambah Ahmed Razman, kejadian banjir ini dijangka tidak akan menjadi faktor utama yang bakal membuatkan harga barang terutamanya makanan meningkat naik, sebaliknya beliau melihat kenaikan harga akan tetap berlaku sama ada banjir atau tidak.