JELEBU – Semua pihak dan agensi terlibat berkaitan banjir digesa untuk menyegerakan urusan bantuan pasca banjir seperti pembersihan rumah yang terjejas dan membaik pulih infrastruktur.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, walaupun tiada sebarang tempoh masa ditetapkan namun beliau menegaskan perkara berkenaan perlu dipercepatkan termasuk kelulusan daripada pusat pengurusan supaya bantuan dapat diberikan di sesuatu kawasan.
“Saya difahamkan daripada segi peraturannya, selepas banjir surut, untuk masuk balik ke rumah perlu maklum kepada pusat pengurusan bencana daerah sebab mereka akan pastikan dahulu kawasan itu selamat untuk dimasuki ataupun tidak.
“Harap perkara ini dipercepatkan, saya tidak mahu nanti kerana lewat memberikan kelulusan ia akan jejaskan daripada segi kemasukan mangsa ke rumah masing-masing, jadi kalau air banjir sudah tiada lagi, kebenaran boleh diberikan untuk mereka (mangsa) balik ke rumah masing-masing.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan D’Sury, Kuala Klawang di sini hari ini.
Ia merupakan sebahagian daripada lawatan ke beberapa tempat di daerah ini yang turut terjejas teruk ekoran banjir yang berlaku baru-baru ini.
Beliau turut menyatakan, telah mengeluarkan arahan supaya agensi-agensi seperti bomba dan tentera, polis, serta majlis-majlis daerah yang mempunyai peralatan mencukupi supaya membantu percepatkan proses pembersihan.
“Kita tidak tetapkan jangka masa tetapi saya mahu kalau boleh, hari ini tiada lagi banjir, hari ini juga perlu dikeluarkan surat kebenaran dan juga pembersihan itu dilakukan,” katanya.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata, beliau juga mahu bantuan sebanyak RM1,000 yang diperuntukkan kepada setiap satu keluarga yang terjejas juga dapat disalurkan dengan segera.
“Saya tidak mahu pembayaran perlu mengambil masa lama, saya tidak mahu selepas diumumkan timbul isu nama tidak lengkap dan sebagainya sehingga mangsa lambat menerima, sedangkan banjir besar ini sesetengahnya (mangsa) sehelai sepinggang sahaja, habis musnah semuanya, jadi bantuan kewangan itu sangat diperlukan,” katanya. -K! ONLINE