fbpx

Pelamin hanyut, janji kami selamat bernikah – Syahiran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PASANGAN yang menjalin cinta sejak dua tahun lalu ini selamat bergelar suami isteri pukul 9.03 pagi tadi.

PETALING JAYA – Majlis malam berinai yang dirancang oleh pelakon dan juga pengacara, Uyaina Arshad malam tadi terpaksa dibatalkan selepas pelamin yang sepatutnya digunakan tidak dapat dipasang selepas dihanyutkan banjir.

Mewakili Uyaina, suaminya iaitu penyanyi Raja Syahiran ketika dihubungi Kosmo! Online berkata, stor menyimpan pelamin milik perancang perkahwinan yang terletak di Puchong, Selangor dimasuki arus banjir sekali gus menghanyutkan peralatan pelamin yang disimpan di situ.

“Kalau ikutkan, ada majlis malam berinai yang dibuat pada malam sebelum akad nikah keesokan harinya.

“Namun majlis tersebut terpaksa dibatalkan selepas pelamin bertemakan ‘Arabian Night’ yang dirancang tidak dapat dibuat kerana dihanyutkan banjir pada Ahad lalu,” kata Syahiran.

Ujar penyanyi berusia 28 tahun itu lagi, selain pelamin malam berinai, pelamin majlis akad nikah dan resepsi juga musnah disebabkan banjir.

“Jadi sehari sebelum majlis, kami terpaksa mencari perancang perkahwinan lain. Semuanya memang dirancang pada saat akhir.

“Walaupun majlis malam berinai dan resepsi tidak dapat dilakukan, apa yang paling penting adalah majlis akad nikah. Itu yang lebih penting berbanding majlis lain,” ujarnya.

Meskipun diduga dengan ujian, Syahiran dan Uyaina tetap meluahkan rasa syukur dan lega kerana akhirnya mereka disatukan sebagai suami isteri.

“Alhamdulillah walaupun diduga dengan ujian, kami tetap lega dan bersyukur. Tidaklah rasa sedih sangat sebab tidak ada pelamin yang diidam-idamkan.

“Mungkin ini adalah ujian daripada Allah SWT. Sejujurnya yang lebih terkesan adalah pihak perancang perkahwinan kerana mereka yang terjejas teruk,” jelas Syahiran.

Dalam pada itu, Syahiran atau nama lengkapnya Raja Azhanrianshah turut berkongsi kejadian pada malam ketika keluarga mereka sibuk menyiapkan cenderahati (door gift) untuk tetamu di rumah kakaknya yang terletak di Subang Jaya.

“Uyaina bersama keluarganya ada datang ke rumah kakak saya di Subang Jaya untuk siapkan ‘doorgift’.

“Tapi mereka akhirnya ‘tersangkut’ di sana sebab air sudah mula naik (banjir). Sementara di rumah saya pula, bekalan elektrik terputus selama 20 jam,” katanya.

Tidak menganggap masalah yang timbul disebabkan oleh ujian berat oleh Tuhan, Syahiran berkata, dugaan tersebut tidaklah seberapa jika dibandingkan dengan nasib yang menimpa orang lain.

“Orang lain (mangsa banjir) lebih teruk terjejas apabila ada dalam kalangan mereka kehilangan kediaman dan harta benda,” jelasnya yang enggan berkongsi jumlah kerugian yang terpaksa ditanggung.

Terdahulu, Uyaina atau nama lengkapnya Saidatul Naseha Uyaina Arshad selamat diijabkabulkan dengan Raja Syahiran di Colony Star Boulevard, KLCC sekitar pukul 9.03 pagi tadi selepas dua tahun menjalinkan hubungan cinta. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI