PETALING JAYA – Penghuni di Pangsapuri Indahria di Batu Tiga, Shah Alam bakal pulang semula ke kediaman mereka masing-masing selepas bangunan tersebut dinilai dari aspek keselamatan.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Selangor, Rodziah Ismail berkata, pangsapuri yang mempunyai lebih 200 unit itu masih selamat untuk diduduki dan kerosakan yang berlaku hanya melibatkan bangunan pakir yang terletak bersebelahan pangsapuri tersebut.
“Pihak kami telah membuat pemeriksaan ke atas bangunan parkir dan mendapati terdapat mendapan pada bangunan tersebut dan beberapa keretakan pada struktur tiang.
“Institut Kerjaraya Malaysia (IKRAM) telah ditugaskan untuk menilai dan meneliti keadaan bangunan terbabit dan mengeluarkan laporan mengenainya bagi menentukan sama ada penduduk selamat untuk pulang atau sebaliknya ke rumah mereka,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Tambah Rodziah, hasil penilaian yang dilakukan, IKRAM telah memutuskan bahawa pangsapuri tersebut masih selamat untuk dihuni disebabkan pangsapuri dan kawasan parkir adalah dua bangunan yang berbeza.
Selain itu, beliau turut memaklumkan bahawa dakwaan mengenai arahan meminta penghuni di Pangsapuri Indahria berpindah adalah tidak benar.
Jelasnya, buat sementara waktu, penghuni di sana dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) ekoran keadaan banjir yang berlaku.
Sementara itu, kerajaan negeri bersama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan menjalankan operasi membaik pulih struktur bangunan parkir dalam tempoh terdekat demi keselamatan penduduk di sana. – K! ONLINE.