PETALING JAYA – Northport (Malaysia) Berhad (Northport), ahli Kumpulan MMC, telah memenangi Anugerah Pengurusan Keselamatan Pelabuhan Terbaik atas inisiatifnya mengekalkan standard amalan keselamatan dan kesihatan yang tinggi di tempat kerja, terutamanya semasa pandemik Covid-19.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Azman Shah Mohd. Yusof berkata, dalam menguruskan pandemik, Kumpulan telah mewujudkan dan melaksanakan Pelan Kesinambungan Perniagaan (BCP) dengan berkesan bagi memastikan langkah-langkah yang mencukupi disediakan demi kesinambungan operasi serta jaminan perniagaan Northport yang meliputi bidang risiko operasi perniagaan utama seperti aset, kakitangan dan pembekal.
“BCP Northport terdiri daripada langkah-langkah yang perlu diambil dalam menguruskan wabak seperti pengaktifan Pasukan Tindak Balas Krisis, kawalan pintu masuk dari darat dan laut, pengurusan pengesanan kontak, pengurusan PPE, pengaktifan mod operasi berasingan dan penggiliran, komunikasi dan kesedaran serta pengurusan kerja-kerja disinfeksi”, katanya dalam kenyataan.
Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Malaysia, Datuk Isham Ishak semasa Majlis Anugerah Kecemerlangan Pengangkutan KiLAT di Kementerian Pengangkutan di Putrajaya baru-baru ini.
Majlis Anugerah Kecemerlangan Pengangkutan KiLAT adalah acara yang julung kali dianjurkan oleh kementerian tersebut mengiktiraf syarikat dan individu di dalam industri pengangkutan serta logistik di atas pencapaian prestasi yang cemerlang.
Azman Shah menerangkan, BCP telah membantu Northport meminimumkan risiko keselamatan dan kesihatan kepada kakitangandan pengguna pelabuhan, dengan memastikan perancangan yang mencukupi disediakan sekiranya jangkitan virus berlaku di dalam terminal, serta memastikan pengaturan alternatif dengan pembekal dan pelanggan diwujudkan demi kesinambungan perniagaan.
Komitmen Northport terhadap keselamatan dan kesihatan telah diperakui sejak beberapa tahun kebelakangan ini dengan beberapa pengiktirafan dan anugerah.
Pada April 2019, Northport menjadi pelabuhan Malaysia pertama yang dianugerahkan piawaian ISO 45001:2018.
Pensijilan tersebut menzahirkan komitmen Northport dalam mengendalikan perniagaan dan aktivitinya pada tahap tertinggi untuk sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di seluruh organisasi.