GARA-gara bentuk badannya yang dilihat sangat cengkung dan kurus sehingga menampakkan tulang rusuk, pelakon dan model Jung Ho-yeon ditegur peminat.
Rata-ratanya berasa bimbang dan tidak kurang terkejut melihat fizikal model itu yang sangat kurus dalam perkongsian terbaharu Instagramnya.
Dalam foto yang dimuat naik, pelakon yang menempa nama menerusi siri Squid Game itu mengenakan gaun panjang berwarna hitam yang terdedah di bahagian dada.
Malah saiz tangannya yang sangat kurus sehingga menampakkan bentuk tulang turut mencuri perhatian ramai sekali gus mengundang respons daripada peminat termasuk rakan artis.
Ho-yeon memiliki berat badan 49 kilogram (kg) dengan ketinggian 176 sentimeter.
Bagaimanapun, dia kehilangan sebanyak 4kg selepas tayangan siri Squid Game kerana kesibukan kerja tanpa henti sehingga Februari tahun depan.
Dalam satu temu bual bersama Star News sebelum ini, pelakon itu mengakui tidak mempunyai masa untuk makan gara-gara kesibukan jadualnya ketika di luar negara.
“Saya hilang berat badan dengan sangat banyak. Semua pakaian yang saya pakai sebelum ini sudah longgar,” katanya.