EDISI kesembilan pertandingan Maharaja Lawak Mega 2021 atau MLM2021 yang menutup tirai pada malam Jumaat minggu lalu menepati ramalan banyak pihak.
Manakan tidak, pentas final yang berlangsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, Putrajaya tersebut menyaksikan kumpulan jangkaan ramai iaitu Tiro membawa pulang gelaran juara MLM2021.
Pada malam persembahan bertemakan bebas dan muzikal, Tiro yang merupakan gabungan tiga pelawak handalan iaitu Danial, Sharif dan Syaiful menyapu bersih 10 HA daripada juri yang mengadili.
Berkat persembahan berkualiti dan konsisten ditunjukkan mereka, Tiro berjaya mencatat peratusan markah paling tinggi iaitu 66.97 peratus sekali gus layak dijulang selaku juara.
Kemenangan kumpulan itu membolehkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM500,000 berserta trofi daripada pihak Astro.
Catatan markah tertinggi tersebut sekali gus mengetepikan empat lagi finalis lain yang bertanding pada malam final, bersiaran secara langsung menerusi saluran Astro Warna dan Warna HD.
Kumpulan Puteh menggondol posisi naib juara dengan hadiah kemenangan sebanyak RM250,000, sementara kedudukan di tempat ketiga pula dibawa pulang oleh Boro dengan hadiah wang tunai RM150,000.
Sementara itu, dua kumpulan lain iaitu Bahye (Zahid, Nizam Jentik-Jentik dan Shashic) serta Tobat (Ajak, Ropie dan Bell Ngasri) masing-masing sekadar berpuas hati di tempat keempat dan kelima.
Mereka masing-masing memenangi hadiah wang tunai RM50,000 dan RM15,000.
Kemenangan bermakna
Menurut kumpulan Tiro, mereka sememangnya tidak menyangka berjaya menggondol gelaran juara pada malam final kerana persembahan minggu sebelumnya kurang baik dan berada di kedudukan ketiga terendah.
“Sungguh kami tak sangka rezeki berpihak kepada Tiro. Kami akui ada banyak kelemahan dalam persembahan minggu lalu.
“Tetapi perkara tersebut membangkitkan semangat buat kami untuk kembali berjuang pada malam final,” kata Tiro.
Lebih menyentuh hati, takhta juara yang diraih mereka datangnya daripada rasa kecewa dan hampir putus asa salah seorang ahlinya iaitu Danial.
Pelawak dan penyampai radio itu mendedahkan, dia pernah berjanji dengan diri sendiri untuk tidak lagi menyertai pentas MLM selepas tersingkir pada edisi MLM2017.
“Saya tak terima takdir ketika itu. Tapi perancangan Allah itu hebat. Percayalah pada rahmat Tuhan kerana sebaik-baik perancang adalah Dia,” tulisnya dalam hantaran Instagram.
Pentas MLM2021 menggunakan format pemarkahan sebanyak 70 peratus daripada juri profesional iaitu Datuk Rosyam Nor, Uqasha Senrose, Noh Hujan dan Diana Danielle, manakala 30 peratus lagi merupakan undian penonton secara dalam talian.
Program tersebut turut menyuntik kelainan pada edisi kali ini apabila menampilkan ikon MLM iaitu Sang Bara.
Malam final menyaksikan identiti Sang Bara yang selama ini menjadi juri misteri selama 10 minggu bersiaran didedahkan kepada umum.
HasiSeperti tekaan kebanyakan peminat, pelakon Sharnaaz Ahmad adalah Sang Bara di sebalik maskot naga merah yang dipakainya.