fbpx

Hulu Langat bagai dilanda tsunami

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan kereta yang dibawa arus banjir di Batu 18, Kampung Jawa, Hulu Langat semalam.

KAJANG – Keadaan kawasan di sekitar Hulu Langat bagaikan dilanda tsunam kepada penduduk di sini apabila banyak kemusnahan termasuklah tempat tinggal, kenderaan, pakaian dan ada juga yang hanya tinggal sehelai sepinggang akibat dilanda banjir Sabtu lalu.

Tinjauan Kosmo! di Batu 18, Kampung Jawa, Hulu Langat semalam mendapati, lebih 500 penduduk terjejas akibat banjir bertungkus lumus membersihkan kawasan kediaman masing-masing dan mencari apa yang boleh diselamatkan.

Apa yang lebih memilukan, apabila ada antara mereka hanya duduk termenung melihat ke­adaan rumah yang musnah sepenuhnya.

Keadaan rumah salah seorang penduduk di Hulu Langat.

Kata seorang penduduk, Mohd. Ihsan Md. Samad, 51, yang menceritakan dia telah mengalami kerugian hampir sepenuhnya apabila rumah tinggal rangka sahaja selepas pulang semula untuk melihat keadaan kediaman setelah banjir surut.

“Balik rumah hari ini (semalam) tengok hanya tinggal rangka, mujur ada juga itu yang ditinggalkan, dapat buat kena­ngan.

“Saya bukanlah orang senang, dan bila berlaku bencana seperti ini, apa yang saya ada, simpanan pun tak cukup nak tampung kehidupan kami lima beranak selepas ni,” katanya sebak.

Sementara itu, Shah Aziz, 38, masih mencari keretanya yang hilang dibawa arus banjir yang me­landa kawasan Kampung Jawa.

Keadaan rumah seorang penduduk kampung yang rosak teruk akibat banjir pada Sabtu lalu.

“Saya tak tahu kereta masih boleh diguna atau tidak, jumpa pun belum lagi, memang tak sempat nak alih kereta sebab air naik sangat cepat dalam 15 minit sudah paras dada.

“Susah juga nak cari sebab banyak kereta yang telah rosak dan ada yang telah dihempap pokok-pokok besar ketika banjir melanda,” ujarnya.

Kesemua mangsa banjir di kawasan itu berharap pihak berkuasa dapat membantu me­ringankan beban mereka selepas kehilangan hampir kesemuanya harta dalam kejadian banjir yang melanda Sabtu lalu.

Nasib malang itu turut me­nimpa Faizol Azmi, 39, yang tidak dapat mendiami semula rumah mereka selepas banjir mula surut di sini, dan hanya tinggal timbunan pasir di tapak rumahnya.

Menurut Faizol, dia yang ketika itu baru sahaja pulang dari kerja dan setibanya di rumah, air mula naik pada paras buku lali disebabkan keadaan hujan yang berterusan selama 2 hari.

“Dalam pukul 7 malam, saya baru sampai rumah dari kerja, air dah mula naik sampai paras lutut dan masa itu saya tak jangka akan berlaku seburuk ini.

“Memang kawasan kami ­selalu banjir, tapi paling teruk pun hanya paras pinggang sahaja dan tidak pernah air naik sampai ke jalan depan rumah sebab ia ­berbukit,” tambah Faizol.

Kenderaan yang tersadai dan rosak selepas banjir.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI