LONDON – Pengurus pasukan Repsol Honda, Alberto Puig menolak khabar angin menyatakan pelumba terbaiknya, Marc Marquez bakal tersisih musim depan berikutan kecederaan mata.
Juara MotoGP enam kali tersebut disahkan mengalami diplopia (masalah mata yang menyebabkan objek dilihat berganda) berikutan kemalangan dalam sesi latihan yang menyebabkan gegaran di kepalanya.
Kecederaan tersebut dijangka mengambil masa lama untuk pulih sekali gus merisaukan Honda.
Justeru, timbul spekulasi bahawa Marquez dijangka tidak turun menjelang perlumbaan pembukaan MotoGP di Grand Prix (GP) Qatar pada Mac tahun depan.
“Marquez melakukan semua yang telah doktor jelaskan kepadanya berikutan situasi yang dihadapi ketika ini.
“Kami mengharapkan berita positif dan agar semuanya mampu kembali normal. Kami tidak mempertimbangkan untuk memulakan perlumbaan tanpa Marquez.
“Kami harus melihat bagaimana situasi Marquez dari semasa ke semasa. Kami memberi sokongan kepadanya untuk terus menjalani proses pemulihan tersebut,” kata Puig.
Sekiranya Marquez tidak diturunkan pada perlumbaan pembukaan di Qatar ia akan menjadi masalah terutama kepada pembangunan jentera RC213V yang dilihat masih belum sempurna. – AGENSI