PETALING JAYA – Pelawak dan pengacara, Harith Iskander yang menjalankan misi menyelamat di beberapa lokasi di Lembah Klang berjaya mengeluarkan mayat mangsa banjir yang terperangkap di sebuah rumah, semalam.
Menerusi hantaran Instagram, Harith melakukan misi itu bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan badan bukan kerajaan (NGO) kelolaannya, The Hope Branch.
“Ada banyak lagi yang anda dapat bayangkan. Kami bersama Nadma pergi ke rumah itu untuk mengesahkan (kematian) dan memindahkan mayat tersebut.
“Isteri saya, Dr. Jezamine Lim turut menyertai kami bagi membuat pengesahan berkenaan kematian mangsa.
“Semoga rohnya tenang di sana. Bencana ini benar. Ini adalah tragedi negara,” tulisnya dalam laman sosial peribadi.
Selebriti berusia 55 tahun itu antara individu yang aktif melakukan kerja amal sehingga mengambil inisiatif menubuhkan NGO bawah The Hope Branch sejak awal tahun lalu untuk menyalurkan bantuan lebih menyeluruh.
Terdahulu, pertubuhan berkenaan giat membantu keluarga yang terjejas teruk ketika situasi Covid-19 melanda hingga mengakibatkan ramai kehilangan pekerjaan dan punca pendapatan.
Malah golongan anak yatim, warga emas serta gelandangan turut mendapat perhatian pasukan tersebut menerusi agihan bekalan barangan makanan dan keperluan asas.
Menerusi hantaran lain, Harith turut memaklumkan pasukannya berjaya menyelamatkan ibu dan bayi yang terperangkap di tingkat atas sebuah rumah kedai selama dua malam.
“Ketika kami mendengar berita Kampung Baru Hicom yang masih lagi tenggelam, The Hope Branch terus mendapatkan bot, bawa pasukan sukarelawan ke sana.
“Situasi yang tidak dapat dibayangkan kerana gelap, kedalaman air sehingga 10 kaki di beberapa tempat, kereta dan van semuanya tenggelam.
“Seorang pemilik kedai membantu menunjukkan arah kepada bot kami ke rumah di mana wanita dan bayi itu terperangkap dan kami berjaya membantu mereka keluar dengan selamat,” tulisnya.
Selepas Shah Alam, The Hope Branch yang membeli bot penyelamat demi membantu mangsa terperangkap difahamkan bergerak pula ke Bukit Changgang, Banting yang ditenggelami air sejak semalam.
Dalam misi berkenaan, sukarelawan NGO itu yang bergabung dengan beberapa kumpulan lain turut membawa bekalan makanan dan keperluan untuk diagihkan kepada keluarga yang terjejas. – K! ONLINE