AMSTERDAM, BELANDA – Agensi Ubat Eropah (EMA) meluluskan penggunaan vaksin kelima Covid-19 bagi kesemua 27 negara Kesatuan Eropah (EU) ketika amaran penularan gelombang baharu melibatkan varian Omicron dikeluarkan di seluruh dunia, lapor akhbar Bangkok Post semalam.
Jawatankuasa Ubat-Ubatan Manusia agensi itu kelmarin meluluskan penggunaan vaksin dibangunkan syarikat bioteknologi, Novavax, yang menggunakan teknologi lebih konvensional.
Ia diharapkan dapat mengurangkan isu keengganan mendapatkan vaksin dalam kalangan orang ramai.
“EMA mengesyorkan pemberian kebenaran pemasaran bersyarat bagi vaksin keluaran Novavax, Nuvaxovid, untuk digunakan ke atas individu berusia dari 18 tahun,” kata EMA selepas mengadakan mesyuarat agung luar biasa di ibu pejabatnya di Amsterdam.
Setakat ini, sehingga 200 juta dos vaksin dua suntikan tersebut telah ditempah untuk digunakan di EU.
Nuvaxovid merupakan vaksin kelima diluluskan blok tersebut selepas Pfizer, Moderna, AstraZeneca dan Johnson & Johnson.
Firma Novavax, yang berpangkalan di Maryland, Amerika Syarikat (AS) pada tahun lalu telah menerima bantuan dana daripada kerajaan AS berjumlah AS1.7 bilion (RM7.15 bilion) bagi membangunkan vaksin yang dihasilkan daripada protein koronavirus.
Bagaimanapun, meski menerima sokongan penuh, Novavax agak terkebelakang berbanding dengan Pfizer-BioNTech dan Moderna serta masih bergelut dengan ujian klinikal dan pembuatannya.
Syarikat tersebut berkata, vaksin keluarannya itu menunjukkan kadar keberkesanan sebanyak 90.4 peratus bagi melawan Covid-19 dalam ujian yang dilakukan di Amerika Utara. – AGENSI