DENGKIL – Tiada liputan internet khususnya di beberapa lokasi terjejas banjir di sini dilihat menyukarkan usaha menyelamat dan komunikasi dengan mangsa-mangsa banjir.
Keluhan itu dikongsi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Dengkil, Adhif Syan Abdullah menerusi hantaran di Facebook, di sini hari ini.
Adhif berkata, masalah ketiadaan liputan itu dikesan di Bukit Changgang, Rancangan Tanah Belia (RTB) Bukit Changgang, Taman Langat Murni, Labohan Dagang dan Olak Lempit.
Beliau berkata, keadaan ini sangat membimbangkan kerana menyukarkan anggota penyelamat dan pasukan sukarelawan untuk menghantar bantuan dan mendapatkan laporan yang lebih terperinci.
“Sehingga kini, banjir di jalan utama di sekitar daerah ini masih belum surut dan ianya menyukarkan pergerakan keluar masuk.
“Saya menyeru agar terdapat tindakan segera daripada Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKKM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan Telekom Malaysia Bhd (TM) agar dapat menyelesaikan masalah liputan internet dan juga masalah bekalan elektrik,” katanya.
Katanya, beliau mencadangkan agar KKKM menggunakan inisiatif lain bagi memastikan komunikasi di kawasan terjejas banjir terjamin termasuk penggunaan radio amatur dan meletakkan peralatan komunikasi bencana di pusat pemindahan sementara (PPS).
Adhif berkata, penggunaan khidmat radio amatur dan peralatan komunikasi bencana amat perlu bagi memudahkan anggota penyelamat dan sukarelawan berhubung terus dengan mangsa banjir. – K! ONLINE