SHAH ALAM- Seramai sembilan mayat mangsa lemas akibat banjir sudah ditemukan di sekitar daerah ini sejak kelmarin.
Jumlah itu termasuk melibatkan tujuh mangsa terbaharu pada pagi dan petang semalam.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, kesemua mangsa berkenaan terdiri daripada enam lelaki dan tiga wanita.
“Kes awal melibatkan dua lelaki tempatan yang ditemukan di Kemuning Utama, Seksyen 33 dan Pangsapuri Alam Idaman, Seksyen 22 pada Ahad (kelmarin).
“Mayat mangsa masing-masing ditemukan pada pukul 4.15 petang dan 8.03 malam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, tujuh mangsa terbaharu semalam pula melibatkan empat lelaki dan tiga wanita.
“Semua kejadian lemas itu berlaku di Pekan Sri Muda, Persiaran Budiman, Seksyen 13 dan sekitar Seksyen 25.
“Ketujuh-tujuh mayat mangsa ditemui antara pukul 12.39 tengah malam hingga 7.40 petang,” ujarnya.
Orang ramai boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di talian 03-55202000/ 03-55202022 untuk tindakan lanjut. -K! ONLINE