PETALING JAYA – Sebanyak 17 kematian direkodkan bagi tiga daerah yang terjejas sehingga pukul 8 pagi tadi akibat banjir yang melanda Selangor sejak Jumaat lalu.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sebanyak 10 kematian direkodkan di daerah Klang, tiga di Hulu Langat dan empat di Sepang.
“Punca kematian kesemua mangsa masih sedang dikenal pasti.
“Saya juga ingin mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan orang ramai yang turut terkesan dengan bencana banjir,” katanya ketika sidang akhbar yang diadakan secara dalam talian hari ini.
Tambah Amirudin, jumlah mangsa juga akan terus meningkat disebabkan terdapat beberapa daerah seperti di Kuala Selangor dan Kuala Langat masih menunjukkan kenaikan paras air banjir. – K! ONLINE