TEMERLOH – Kejadian banjir yang berlaku di negeri ini bertambah buruk bagai mengulangi tragedi banjir besar 1971 apabila bandar Mentakab di sini turut ditenggelami air hari ini.
Jika sebelum ini ketika banjir besar 2014 hanya kampung-kampung berhampiran sahaja ditenggelami air namun kali ini bandar berkenaan turut dilimpahi air seperti lautan.
Seorang penduduk Rosedi Othman, 68, berkata, banjir kali ini yang turut menenggelamkan keseluruhan bandar adalah yang terburuk di situ.
“Di Mentakab ini adalah yang terburuk kalau dibandingkan dengan banjir besar pada 1971, kali ini seluruh bandar dan rumah di kawasan tinggi kampung saya juga tenggelam.
“Rumah saya sudah tidak kelihatan kerana telah ditenggelami air begitu juga penduduk yang lain,”katanya yang tinggal di Kampung Batu Kapor di sini.
Dalam pada itu seorang penduduk di bandar Mentakab, Alice Tee, 35, berkata, dia tidak menyangka banjir kali ini menenggelamkan bandar Mentakab memandangkan pada 2014 hanya sedikit sahaja kawasan bandar ditenggelami air.
Katanya, air naik begitu cepat menyebabkan di tidak sempat untuk menyelamatkan barangan berharga dan berpindah ke rumah saudaranya bagi menyelamatkan diri.
“Pada masa ini air makin naik dan rumah saya telah paras kepala, saya cuma mampu berharap air akan turut dan banjir reda,”katanya di sini, hari ini.
Sementara itu Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Temerloh, Mohd. Ikram Haron berkata, jumlah mangsa banjir di Temerloh pada masa ini terus meningkat kepada 8,777 mangsa daripada 2,463 keluarga.
Katanya kesemua mangsa ditempatkan di 70 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dibuka di seluruh daerah titik tengah semenanjung itu.
“Setakat ini bandar Mentakab terjejas teruk berbanding Temerloh, air di Mentakab adalah dari limpahan air Sungai Semantan yang dibawa dari Bentong,”ujarnya. -K! ONLINE