KUALA LUMPUR – Seramai 63 pegawai dan 856 anggota lain-lain Angkatan Tentera Malaysia (ATM) termasuk kumpulan sokongan telah digerakkan sebagai usaha menyelamat mangsa banjir di negeri-negeri terjejas menerusi Ops Murni.
Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Affendi Buang berkata, operasi itu dijalankan anggota dan aset Tentera Darat Malaysia (TDM) tertumpu kepada negeri yang dilanda banjir di seluruh negara.
“TDM memberi tumpuan dan keutamaan kepada beberapa kawasan terjejas akibat banjir di Selangor, Kuala Lumpur, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Terengganu dan Kelantan.
“Selain menghulurkan bantuan menyelamat, kita juga akan bertindak memindahkan mangsa banjir serta membuat penyediaan dan pengagihan makanan, pegawai perhubungan di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, kumpulan sokongan terdiri daripada 102 pegawai dan anggota ATM turut diletakkan dalam kesiapsiagaan di setiap negeri dan akan digerakkan apabila terdapat keperluan tambahan.
“Aset ATM seperti trak, pacuan empat roda, bot tempur serta aset udara daripada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) juga bersedia sekiranya diperlukan.
“ATM sentiasa komited dalam melaksanakan tugas sekundernya bagi membantu pihak berkuasa dalam menyelamatkan mangsa banjir terutama usaha memindahkan mereka ke kawasan selamat,” ujarnya.
Setakat malam tadi, bilangan mangsa banjir dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) mencatatkan lebih 61,000 orang dengan Pahang dan Selangor mencatat jumlah paling tinggi. – K! ONLINE