fbpx

‘Asalnya nak beri sekotak pakaian sahaja’ – Azhan Rani

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PERKONGSIAN Azhan yang kini giat turun padang membantu mangsa banjir bersama ramai lagi warga tempatan di sekitar Lembah Klang.

PETALING JAYA – Pelakon Azhan Rani menitiskan air mata apabila misi solo membantu mangsa banjir di Lembah Klang meraih sokongan ramai termasuk peminat dari Singapura yang menyatakan hasrat menyalurkan sumbangan.

Katanya, pada awalnya dia hanya mahu menyerahkan sekotak pakaian namun selepas berkongsi dalam Instagram, perancangan tersebut mewujudkan gerakan berkumpulan yang menyasarkan lebih banyak kawasan terjejas.

“Sebenarnya saya tak rancang beria sebab semua ini saya buat seorang atas dasar prihatin dengan keadaan mangsa bah, tambahan pula ketika itu saya ada sekotak pakaian saja untuk diserahkan.

“Kiranya ‘one man show’ sebab pagi tadi baru tergerak, bukan dirancang. Hasrat bermula selepas membaca mengenai mangsa tunggu bantuan dalam sosial media, takkan saya nak ‘like’ saja atau tulis kasihan.

“Jadi saya fikir kena buat sesuatu. Selepas fikir semula, takkan nak bawa sekotak baju saja sedangkan kereta saya boleh muat lebih banyak barang lagi. Saya pun kongsi dalam Instagram, ramai yang mahu sama-sama bantu.

“Ada yang salur sumbangan dan minta nombor akaun tetapi lebih mudah kalau mereka beri barang untuk kami agihkan. Tadi pun ada seorang kakak dari Singapura mahu bagi sumbangan. Pagi-pagi lagi saya sudah menangis,” katanya.

Bintang filem Lelaki Harapan Dunia itu memaklumkan duit sumbangan orang ramai digunakan untuk membeli barangan keperluan seperti sabun cuci, sabun mandi, ubat gigi, berus gigi, lampin pakai buang, tuala wanita, tisu dan plastik sampah.

Katanya, bagi memastikan penderma tahu ke mana wang mereka disalurkan, Azhan akan memaklumkan dari semasa ke semasa mengenai pembelian serta agihan lokasi dibuat.

“Kebetulan tadi saya jumpa ‘team pajero’ sebab pintu rosak, saya tumpang mereka. Kami kemudian berpecah kepada dua pasukan untuk ke beberapa lokasi terjejas di sekitar Meru, Klang. Memang kalau saya buat seorang tak mampu.

“Minta maaf kalau mesej tak berjawab sebab banyak mesej masuk. Terima kasih juga kepada yang bagi sumbangan, barangan atau duit. Saya akan ‘update’ jumlah yang sudah digunakan untuk beli barang setakat ini RM5,380.

“Esok kami akan cuba bergerak ke banyak lagi tempat pemindahan sementara. Menerusi baki sumbangan yang diterima, saya akan beli lagi barang untuk diserahkan kepada pusat lain,” katanya.

Pada masa sama, pelakon berusia 45 tahun itu menyatakan barang yang masih diperlukan kebanyakan mangsa banjir adalah selimut, toto, produk untuk mencuci rumah selain susu bayi, lampin pakai buang untuk dewasa dan bayi.

Azhan turut memaklumkan dia menerima mesej meminta bantuan dalam bentuk wang namun perkara tersebut tidak dapat ditunaikan bagi mengelakkan perkara berbangkit atau disalah guna.

Sementara itu, selain aktor tersebut, ramai lagi selebriti menyertai misi bantuan seperti Datuk Seri Siti Nuhaliza, Faizal Tahir, Didie Alias, Sharifah Shahira, Achey, Fad Bocey, Atu Zero, Ella, Ismail Izzani dan Izzue Islam.

Biarpun tidak turun padang, sebahagian besar artis lain pula aktif berkongsi maklumat berkaitan banjir atau hebahan misi bantuan dalam laman sosial masing-masing sebagai tanda solidariti. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI