MADRID – Ketua jurulatih Real Madrid, Carlo Ancelotti enggan menyalahkan barisan pemain selepas pasukan bergelut untuk melakar kemenangan selepas hanya meraih keputusan seri tanpa jaringan ketika bertemu kelab kerdil, Cadiz dalam aksi La Liga awal pagi semalam.
Kata Ancelotti, anak-anak buahnya telah memberikan yang terbaik sepanjang 90 minit perlawanan dengan mencipta banyak peluang untuk menjaringkan gol, tetapi gagal berbuat demikian kerana pertahanan lawan cemerlang untuk elak dibolosi.
“Barisan pemain telah mengikut arahan taktikal yang saya terapkan apabila kami mendominasi keseluruhan perlawanan, tetapi tidak tahu dimana silapnya apabila jentera serangan agak tumpul selepas rentetan peluang gagal disudahkan dengan baik.
“Namun, saya tidak mahu salahkan mereka kerana usaha sudah dibuat.
“Nasib tetap tidak menyebelahi pasukan dengan benteng lawan turut kebal menjaga gawang daripada dibolosi dan pujian wajar diberikan kepada mereka.
“Apa yang penting, kami mengambil beberapa perkembangan positif seperti pasukan masih lagi mendahului carta liga ketika ini dan lebih mustahak untuk terus pandang ke depan kerana saingan masih lagi panjang,” katanya.
Sementara itu, Ancelotti turut memuji kelibat pemain sayap utama, Eden Hazard yang mula mempamerkan kualiti yang ada padanya, namun tidak bernasib baik apabila peluang yang dicipta serta sepakan dilakukan gagal menerjah jaring.
“Hazard sudah kembali cergas selepas hampir dua bulan dibelenggu kecederaan.
“Kehadirannya tepat pada masanya dan kita boleh lihat, bagaimana dia membantu pasukan ini memberi kesukaran buat benteng pertahanan pasukan lawan pada aksi kali ini,” kata pengendali dari Itali itu. – AGENSI