PETALING JAYA – Ajinomoto (Malaysia) Berhad (AMB) komited menyumbang kepada kesihatan dan kesejahteraan masyarakat dalam sukan melalui penglibatannya sebagai salah satu penaja utama dalam All-Stars Football Charity Match baru-baru ini.
Perlawanan bola sepak amal antara Malaysia-Japan All-Stars dan Malaysia Deaf Tigers yang diadakan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur baru-baru itu dilancarkan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan AMB, perlawanan amal itu dianjurkan oleh Yakult Malaysia itu bertujuan untuk mengumpul dana bagi Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDEAF) serta pembangunan pemain pasukan Malaysia Deaf Tigers sebagai persediaan untuk kedua-dua kejohanan domestik dan antarabangsa.
“Seramai 18,000 penonton telah menyaksikan perlawanan tersebut di stadium dan melalui siaran langsung dalam talian bagi memeriahkan lagi acara.
“Selain itu, perlawanan amal tersebut telah berjaya mencapai sasaran kutipan dana sebanyak RM300,000,” jelasnya.
Selain menyokong kedua-dua pasukan berkenaan, AMB turut memperkenalkan minuman sukan berjeli aminoVITAL, jenama nombor satu di Jepun bagi meningkatkan prestasi bersukan.
Produk aminoVITAL mengandungi 3,000 mg asid amino yang terdiri daripada rantaian asid amino bercabang (BCAA) yang dapat membantu, menyokong dalam pemulihan otot serta latihan dan prestasi para atlet.
Produk yang memiliki kandungan 112 kcal dalam setiap pek, aminoVITAL itu juga sesuai untuk atlet sukan berdaya tahan tinggi, termasuklah pelari, penunggang basikal, peserta triathlon, perenang dan pendaki.