PETALING JAYA – Tiada apa yang menggembirakan hati pelakon dan usahawan, Ika Nabella apabila suaminya selamat pulang ke rumah selepas keluar menyertai misi bantuan untuk mangsa banjir di Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor semalam.
Ika menerusi Instagram memberitahu, suaminya, Muhammad Zaid Aznam kini berada dalam keadaan baik dan selamat tiba di kediaman mereka sekitar pukul 12 tengah malam tadi.
“Alhamdulillah suami saya dah pulang. Keadaan di Sungai Lui sangat menyedihkan. Rumah tinggal tangga, ada rumah yang dihanyutkan banjir dan lumpur yang sangat tebal.
“Bekalan elektrik terputus, tiada liputan dan bekalan air bersih. Di sana juga tiada jaringan internet,” tulisnya.
Terdahulu, Ika menerusi hantaran sebelumnya meluahkan kebimbangan apabila tidak dapat menghubungi suaminya yang keluar bersama rakan-rakan bagi menjalankan misi bantuan kepada mangsa terjejas.
“Saya tak dapat hubungi suami saya sejak dia masuk ke Sungai Lui, Hulu Langat. Saya tahu, dia dalam keadaan baik, cuma saya dimaklumkan di kawasan itu memang tak ada liputan telefon dan dia bersama kawan-kawannya.
“Katanya sebelum pergi tadi, keadaan di sana sangat teruk. Paling teruk setakat ini, tapi mereka tak dapat kongsikan dengan lebih banyak maklumat,” katanya yang menyatakan suaminya bertolak untuk menjalankan misi tersebut selepas waktu Zuhur semalam.
Sekadar info, setakat tengah malam tadi, lebih 61,000 mangsa banjir melibatkan 13,000 keluarga ditempatkan di 407 pusat pemindahan sementara (PPS) di Kelantan, Terengganu, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Perak dan Kuala Lumpur. – K! ONLINE