WASHINGTON – Berpuluh-puluh pelajar diberkas selepas disyaki terlibat dengan trend baharu di laman TikTok dinamakan ‘cabaran tembakan di sekolah’ sekali gus meletakkan sekolah-sekolah di Amerika Syarikat (AS) dalam keadaan berjaga-jaga, lapor akhbar Daily Star semalam.
Berdasarkan trend tersebut, pelajar dicabar untuk membuat ancaman terhadap sekolah mereka pada 17 Disember lalu sebagai satu bentuk gurauan.
Susulan itu, beberapa buah sekolah terpaksa ditutup pada hari tersebut serta pihak polis turut dikerahkan untuk berkawal di lokasi-lokasi terlibat.
Sebilangan pegawai pentadbiran daerah memberitahu bahawa tiada ancaman sebenar berlaku yang boleh dikaitkan dengan trend tersebut.
Bagaimanapun, beberapa pendakwa raya di daerah-daerah di Michigan telah memfailkan tuduhan terhadap berpuluh-puluh remaja dengan ada antara mereka yang berusia seawal 11 tahun kerana didapati membuat ancaman.
Pejabat Syerif Daerah Lee di Florida pula telah menahan tiga remaja kerana membuat ancaman bom terhadap sekolah menerusi media sosial.
Ketiga-tiga remaja berusia 13 tahun itu ditahan selepas didapati membuat kenyataan berbaur ancaman di media sosial di Naugatuck, Palm Coast dan Frederick.
Turut ditahan bersama-sama mereka adalah seorang remaja 16 tahun atas tuduhan membawa senjata api ke kawasan sekolah.
Selain itu, beberapa buah sekolah di negeri-negeri termasuk Arizona, Connecticut, Illinois, Montana, New York dan Pennsylvania turut meningkatkan bilangan anggota polis, namun memberi jaminan kepada ibu bapa bahawa tiada ancaman sahih akibat trend tersebut.
Dalam pada itu, TikTok menerusi satu kenyataan berkata, pihaknya mengambil serius segala bentuk ancaman tersebut meskipun tidak menemui sebarang bukti yang mengatakan bahawa ancaman itu bermula daripada trend di laman sosial tersebut.
“Kami telah berusaha keras mencari kandungan yang mengajak pengguna melakukan keganasan di sekolah, namun gagal menemui apa-apa bukti,” kata TikTok. – Agensi