SHAH ALAM – “Tragedi itu berlaku dalam sekelip mata dan begitu pantas”
Demikian luahan pilu Abd. Razak Majit, 50, yang terselamat dalam nahas mengorbankan 10 nyawa berdekatan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) USJ, Lebuh Raya Elite, dekat sini, kelmarin.
Menurut pengawal keselamatan itu, ketika kejadian dia bersama arwah isteri, Norul Naziah Buyong, 37, dan lapan anak sedang menuju pulang ke rumah mereka di Padang Jawa di sini.
“Namun, kereta Proton Wira dipandu saya tiba-tiba mengalami kerosakan bateri dan terpaksa berhenti di tepi jalan.
“Selepas periksa keadaan kereta, saya sedar-sedar sudah terbaring atas jalan dan melihat kereta kami sudah berada di bawah treler,” katanya sebak ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 di sini semalam.
Terdahulu, jenazah sembilan beranak itu selamat dikebumikan dalam satu kubur di tanah perkuburan berkenaan, kira-kira pukul 1.30 tengah hari semalam.
Jenazah dikebumikan mengikut turutan usia bermula daripada Allahyarham Norul Naziah Buyong, 37, yang juga ibu kepada keluarga itu.
Ia diikuti anak sulung, Allahyarham Razarul Amin Abd. Razak, 17, Razatul Aliah, 16, Puteri Hidayah Abd Razak, 12, dan Muhamad Aizat Syazwan, 10.
Empat lagi anak suri rumah itu yang turut maut iaitu Allahyarham Muhamad Rolkaizat Rezky, 9, Muhamad Hidayat Hakimie, 7, Puteri Nur Ain Syalwana, 3, dan Muhammad Raid Fathi yang berusia 10 bulan.
Seorang anak yang tidak terlibat dalam nahas itu, Haikal Faiz, 14.
Abd. Razak berkata, dia bersyukur semua urusan pengebumian itu berjalan lancar dan disemadikan dalam satu kubur.
“Saya berterima kasih kepada semua pihak termasuk Lembaga Zakat Selangor, Jabatan Agama Islam Selangor dan polis yang membantu urusan kami sejak semalam.
“Biarpun perit, kami reda dengan ketentuan Ilahi dan mendoakan roh isteri serta lapan anak damai di alam sana,” katanya.
Tambah beliau, kemalangan itu mengakibatkan kecederaan pada kaki kanannya dan masih dalam proses rawatan.
Adik kepada Norul Naziah, Nurul Atika, 33, berkata, keluarganya bersyukur kerana urusan pengebumian berjalan lancar dengan bantuan pelbagai pihak.
“Kami juga berterima kasih kerana semua jenazah dapat dikebumikan dengan sempurna dalam satu kubur.
“Keluarga reda dengan ketentuan Ilahi dan mendoakan mereka ditempatkan kalangan para solehah,” katanya ketika ditemui selepas selesai pengebumian itu.
Berita berkaitan: [KEMASKINI] [VIDEO] 10 mangsa maut nahas dikenal pasti