KUALA LUMPUR – Sidang Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen Keempat Belas yang telah berlangsung selama 33 hari mulai 25 Oktober lalu berakhir hari ini.
Persidangan kali ini diadakan dengan mengambil kira cabaran penularan kes wabak Covid-19 yang masih lagi berlaku di negara ini.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun berkata, pelbagai langkah telah diambil bagi memastikan persidangan tersebut berjalan lancar.
Katanya, ini termasuklah mewajibkan ujian RTK Ag Saliva secara berkala dan menggalakkan pengambilan dos penggalak vaksin Covid-19 kepada semua Ahli Parlimen.
“Saya sebagai Tuan Yang di-Pertua dan Timbalan saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua Ahli Yang Berhormat yang telah memberi kerjasama bagi membolehkan perjalanan Majlis Mesyuarat dapat disempurnakan sepanjang tempoh persidangan ini.
“Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia yang telah memberikan sepenuh komitmen dalam memastikan Parlimen Malaysia sentiasa dalam keadaan terkawal dan selamat daripada penularan wabak Covid-19, ” jelasnya di Dewan Rakyat hari ini. – K! ONLINE