fbpx

Rumah tenggelam, Yantzen tidur atas bumbung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
YANTZEN berterima kasih kepada pihak penyelamat kerana datang membantu dia dan mangsa banjir lain di Hulu Langat.

PETALING JAYA – Penyanyi rock, Yanzten merupakan antara mangsa banjir di Hulu Langat, Selangor yang berdepan situasi menakutkan apabila terpaksa memanjat bumbung rumah berikutan paras air naik mendadak dalam kejadian malam kelmarin.

Katanya, dalam keadaan kelam kabut menyelamatkan diri daripada terperangkap, dia hanya sempat mencapai beg pakaian sebelum berlindung di atas bumbung semalaman sambil menahan kesejukan menunggu bantuan datang.

“Air naik terlampau cepat dan deras, cuma sempat bawa sebuah beg. Tiada cara lain, terpaksa panjat bumbung bagi menyelamatkan diri. Ketika itu sudah tak fikir harta benda.

“Semalaman saya bersama penduduk lain bertahan dalam kesejukan. Boleh nampak rumah sekeliling sudah dinaiki air, tinggal bumbung. Dalam kesejukan kami hanya dapat berdoa supaya keadaan reda.

“Masa itu memang pasukan penyelamat pun tak dapat masuk sebab jalan turut dinaiki air. Beberapa jam kemudian bantuan tiba, semua mangsa termasuk saya dibawa ke pusat penempatan sementara.

“Sebenarnya, ini pengalaman pertama yang saya lalui sepanjang lima tahun tinggal di sini. Sebelum ini air sungai saja melimpah. Jadi saya masih buntu,” katanya kepada Kosmo! Online.

Pemilik nama sebenar Yantzen Juniwan, 63, itu yang kini menumpang di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) turut memaklumkan belum menjenguk kediamannya yang terletak di Taman Sungai Serai Tambahan.

Katanya, dia menganggarkan lebih 90 peratus barang rumahnya musnah termasuk peralatan elektrik, perabot serta kenderaan berdasarkan paras air yang memenuhi kawasan kejadian.

“Buat sementara ini saya tinggal di PPS bersama keluarga lain yang terkesan. Alhamdulillah, semua petugas di sini sangat membantu, begitu juga sukarelawan, NGO (pertubuhan bukan kerajaan), pasukan keselamatan dan orang kampung.

“Setakat ini saya belum lagi tengok keadaan rumah tetapi sejak malam kejadian, saya dapat anggarkan banyak barang rosak. Kereta dan motosikal turut tenggelam dalam banjir.

“Kalau sudah ada bekalan elektrik serta air, saya akan bersihkan rumah. Air sudah surut dan jalan masuk juga sudah boleh dilalui kenderaan. Saya difahamkan rumah terjejas dipenuhi selut.

“Sekarang saya masih belum tahu lagi nak buat apa. Kena tunggu perkembangan selanjutnya. Tunggu bekalan air dan elektrik disambung semula, baru boleh bersihkan rumah,” kata bekas vokalis Rusty Blade dan May itu lagi.

Penyanyi lagu Insan yang tinggal sendirian itu tidak ketinggalan menzahirkan terima kasih atas bantuan pihak penyelamat terutama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang membawa mereka yang terkandas menaiki bot ke lokasi selamat.

Malah katanya, sejak kelmarin ramai kenalan dan saudara mara yang menghubunginya untuk bertanya khabar selain menyuarakan hasrat membantunya dan mangsa lain. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI