AKTOR Ben Affleck mendakwa dirinya masih lagi bergelar seorang ‘kaki botol’ gara-gara ketagihan alkohol jika tidak bercerai dengan bekas isterinya yang juga pelakon Jennifer Garner pada 2015.
Kata aktor berusia 49 tahun itu, jika perkahwinannya dipertahankan, dia akan berdepan dilema sama ada untuk mengutamakan anak-anaknya atau terus berasa tidak bahagia bersama Garner.
“Mungkin saya dan bekas isteri akan terus bergaduh dan saya masih mengamalkan tabiat mengambil alkohol dengan teruk.
“Saya menjadi seorang kaki botol kerana perasaan terperangkap. Saya memikirkan anak-anak jika mengambil keputusan untuk bercerai,” katanya.
Disebabkan rasa tidak bahagia, apa yang dilakukan Affleck adalah dengan cara meminum sebotol arak sehingga tertidur di atas sofa untuk menyelesaikan masalahnya.
Affleck juga mengaku, dia sebenarnya berusaha keras untuk mempertahankan rumah tangganya. Bagaimanapun, semuanya tidak berhasil meski pelbagai cara dilakukan mereka.
Affleck dan Garner mendirikan rumah tangga pada 2005. Mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Violet, 16, Seraphina, 12, dan Samuel, 9.