PUCHONG – Tindakan penebukan benteng dan pengepaman air banjir akan dilaksanakan segera bagi mengatasi masalah ‘air termenung’ di Taman Sri Muda, Shah Alam, Selangor.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr. Abd. Latiff Ahmad berkata, perkara itu akan dikendalikan oleh Jabatan Pengairan Saliran (JPS).
Beliau berkata, lokasi bagi penebukan benteng itu belum lagi dimuktamadkan dan ia akan diputuskan oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA).
“Sebanyak 21 pam akan digunakan bagi mengalirkan air genang itu ke Sungai Klang,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Kawalan Bencana Negara Markas SMART Pulau Meranti, di sini hari ini.
Katanya, kaedah penebukan dan pengepaman air ini penting kerana jika dibiarkan ia boleh berlarutan sehingga dua minggu.
Dalam pada itu, Abd. Latiff berkata, beliau mengesahkan kira-kira 2,000 penduduk di Taman Seri Muda enggan berpilih ke lokasi lebih selamat.
“Penduduk memaklumkan mereka enggan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) kerana bimbang dijangkiti Covid-19.
“Bagaimanapun, kami akan terus membantu mereka dengan cara menghulur bantuan makanan dan keperluan-keperluan yang asas,” katanya.